Tuesday, December 28, 2010

Teman Bukan Sebarang Teman

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Salam hormat dan salam ukhuwah buat semua.

Ku kira sudah dua tiga minggu tidak ku coretkan apa-apa diruangan ini. Bukan kerana tidak ada apa nak ditulis tetapi kerana sibuk menyiapkan proposal, kursus dan bercuti di rumah. Almaklumlah diakhir-akhir tahun sebegini ramai sungguh yang bercuti serta mengambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga tercinta.

Hari ini adalah hari terkahir aku bekerja untuk tahun 2010. 2 hari terakhir 2010 ku bercadang untuk meluangkan masa menyediakan perkara-perkara yang perlu untuk kami masuk ke rumah sewa baru dan menyediakan keperluan bayi lagi, jadi ku telah memohon cuti tahunan untuk tujuan tersebut.

Kadangkala terlintas juga dihati, sekejap sahaja masa 20-an kita berlalu. Dek kerana sibuk memikirkan kehidupan, memikirkan jalan penyelesaian dan menguruskan hal-hal penting demi mencapai kesejahteraan hidup, masa itu cepat sahaja dirasakan beredar. Sewaktu kecil dulu tidak perlu fikir semua itu, ada yang fikirkan ~ ibu bapa kita. Oleh itu, kita hanya terfokus pada diri kita, agama, pelajaran dan itu pun hanya untuk kita. Sewaktu itu ingin sekali masa berlalu cepat supaya cepat kita dewasa, dapat kerja, dapat duit, dapat berdikari dan lain-lain lagi.. jadi dirasa lama sangat nak cecah usia 20-an.. Kini bila ku sudah berusia 25 tahun tidak sempat pula ku rasa keindahan yang ku-angan-angankan dahulu. Namun begitu ia juga tidak bermakna aku tidak bahagia. Allah s.w.t telah menetapkan segala indah buat hamba-Nya selagi kita bersyukur dan redha dengan ketentuan-Nya. Kini aku bahagia walaupun perlu memikirkan soal kehidupan, soal tanggungjawab sebagai hamba Alllah s.w.t., sebagai isteri, sebagai anak dan tidak lama lagi, InsyaAllah sebagai ibu pula. Bahagia kerana kukira aku mampu untuk tempuh semua itu dengan Allah sebagai teman hidupku. Dan juga kerana Allah s.w.t. telah meminjamkan aku seorang teman yang juga kearah mencari redha-Nya yakni suamiku buat menemani aku dibumi ini. Alhamdulillah. Dengan adanya dia disisi semoga perjuangan kami bersama mencari redha-Nya bertambah manis dan mudah InsyaAllah.


Bercerita soal teman, tidak lupa juga buat teman-teman perempuan yang telah sama-sama bersama membesar dewasa yang telah banyak mempengaruhi kehidupan aku sehingga kini. Alhamdulillah, teman yang dipinjam Allah itu juga adalah teman-teman yang solehah dan teman-teman yang sama-sama ingin mencari redha-Nya. Namun, ku akui juga ada silap yang kami leka kadangkala dahulu, tapi itu semua kukira pengajaran buat kami. Almaklumlah zaman remaja, dan ilmu yang cetek boleh sahaja menjadi jerat.

Begitu tersentuh kadangkala kulihat remaja-remaja yang tersalah berkawan dan akhirnya tidak dapat apa-apa kebaikan dari persahabatan tersebut melainkan yang membawa kearah yang lebih buruk. Maka dengan itu ku simpulkan bahawa memilih kawan itu penting. Lagi-lagi ketika zaman remaja kerana kita lebih banyak bercerita dengan rakan-rakan dari ibu bapa kerana jiwa terasa begitu bebas dan tidak mahu lagi dikongkong. Oleh sebab itu juga Nabi s.a.w. menganjurkan ibu bapa untuk menjadi rakan kepada anak-anak remaja mereka. Bukan apa, supaya mudah ditegur dan mudah diterima teguran. Kita dahulu seorang remaja juga begitu. Lebih terpengaruh dengan nasihat rakan-rakan. Kalau rakan kita nasihatnya dan gaya hidupnya berpandukan Islam, Alhamdulillah. Jadi lebih baiklah kita. Kalau tidak? Nauzubillah.

Dalam pada itu, kuharap aku dapat mendidik anak ku kelak menjadi teman yang soleh dan membawa teman-temannya kearah yang lebih baik dan juga diharap dia juga mendapat teman-teman yang soleh agar dia juga dapat kebaikan dari persahabatannya. Itulah antara yang memnuhi ruang fikiran ku kadangkala - cara mendidik anak. Semua orang ingin jadi ibu bapa terbaik untuk anak-anak mereka. Begitu juga aku. Semoga anak yang bakal lahir ini adalah anak yang soleh dan semoga aku dan suami dapat menjadi ibu bapa yang soleh-solehah serta dapat menjadi teman hidup buat anak-anak kami. InsyaAllah.

Berkawan, berteman kerana Allah, maka carilah yang soleh/solehah supaya mendapat keredhaan-Nya.

Ku akhiri post ini dengan link video lagu nasyid - Teman Sejati.

http://www.youtube.com/watch?v=sQxIU6JZEgA

Wassalam.

Wednesday, December 15, 2010

10 Muharram

Assalamualaikumwarahmatullahiwabaraktuh, salam ukhuwah.

Dalam celik pejam mata ini, sudah 10 hari kita di tahun baru. Seminggu ini aku sibuk seharian dengan kursus dan petang pula sudah kepenatan. Hari ini sudah 10 muharram rupanya, memang semalam amat diingat sangat, kurang-kurang boleh berpuasa hari ini, tapi alpa sungguh diri ini sehinggakan terlupa bila bersarapan pagi tadi. Ralat sungguh rasanya, terasa begitu alpa sekali aku terhadap Allah dan Rasul. Sunnah ini pun tak dapat nak dibuat. Sungguh begitu aku memang hanya insan biasa, masih dalam memperbaiki diri. Pesan doktor lebih diingat pagi ini, kerana akhir-akhir ini aku memang cuba untuk bersarapan di awal pagi supaya tidak makan berlebihan yang akan kelak memudaratkan proses bersalin. Sungguh alpa.. alpa.. kadangkala begitulah kita, pesanan semasa yang lebih diingat bukan pesanan seumur hidup..

Tidak mengapalah, mudah-mudahan ak dapat tunaikan dilain masa. Lagipun umur kandunganku juga sudah menjangkau lebih 7 bulan, risau juga sekiranya ia memudaratkan..kata pujuk untuk hati ini kerana agak kesal pula tak dapat berpuasa sunat hari ini..Namun begitu, kuharap ramai ummah di luar sana yang berjaya menunaikan sunnah puasa hari ini dan semoga Allah lebih memberkati kita.

Hujung minggu ini ak akan mengambil peperiksaan IELTS, tidak sempat membuat persediaan yang banyak namun kuharap dapat kutempuh dengan jayanya. InsyaAllah.Ya Allah terangkan hatiku ini, berikan aku petunjukmu dan janganlah Kau sesatkan aku setelah aku diberi petunjukMu.. Amin..

Friday, December 10, 2010

Pemeriksaan Bulanan Pre-natal

Assalamualaikumwarahmataullahiwabarakatuh. Salam ukhuwah buat semua.

Alhamdulillah sudah penghujung minggu nampaknya. Cepat sahaja masa berlalu. Kadangkala terasa rugi ada masa yang tak dapat diisi penuh makna. Surah Al-Asr yang sering kita baca sesudah majlis pada kebiasaannya bertujuan mengigatkan kita akan kepentingan masa, tapi kita hamba-Nya yang lemah sering sahaja alpa dan leka dek melayan karenah duniawi. Ya Allah ampunila dosa hamba-Mu ini atas segala kealpaan dan kelekaanku.

Hari ini aku sempat menyinggah ke klinik bersalin untuk buat monthly check up, menyinggah sebentar di alam bayi ku yang belum lahir, menjenguk keadaannya dan tidak ketinggalan bertanyakan beberapa perkara dengan Dr mengenai keadaan kesihatanku. Alhamdulillah, anakku kelihatannya sihat sahaja, kini juga dapat kurasakan pergerakannya yang lebih aktif dan kerap. Aku pula ditegur doktor untuk menjaga pemakananku kerana dikhuatiri berat badan yang naik terlalu banyak akan menyebabakan kesukaran kelak nanti. Selain itu turut di beri makanan tambahan DHA sebagai usaha awal dalam membantu perkembangan otak bayi mudah-mudahan bayi mudah menerima ilmu Allah kelak dan seterusnya menjadi khalifah bijak di bumi ini. Oh iye, kali ini lepas scanning dapat juga dijangka bahawa bayi yang bakal lahir adalah bayi lelaki.. Alhamdulillah. Ak tidak kesah samaada perempuan mahupun lelaki, yang penting ialah kesihatannya dan mudah-mudahan sempurna fizikal dan mentalnya. Apa-apa pun, rezki Allah dan aku terima dengan redha. InsyaAllah mudah-mudahan anak lelaki ini bakal menjadi khalifah Allah di bumi membimbing adik-adik yang lain serta taat pada Allah S.W.T.

Bercakap tentang anak, memang sering datang kerisauan dalam hatiku bagaimana agaknya cara terbaik inginku didik anak ini, supaya dia mengenal pencipta-Nya dan mengikut ajaran Rasulullah sebaik-baiknya agar dia menjadi insan yang berbakti di bumi ini. Takut ak tidak mampu, juga takut dengan pengaruh luar yang kian sukar kini untuk dibendung. Namun kuakan berusaha sebaik-baiknya dan ku bertawakkal kepada-Nya. InsyaAllah.


Sebelum ak akhiri coretan hari ini, ingin di catit juga disini, tadi sempat membeli Solusi isu 26, yang baru sahaja kubelek-belek dan baca sebahagian darinya. Kali ini isunya turut menyentuh soal "nilai" . Apakah itu nilai, dan dimanakah letaknya nilai diri kita.. InsyaAllah semoga ak mendapat manfaat darinya dan semoga lebih ramai pembaca yang dapat juga memanfaatkan ilmu dari mjalah tersebut. Semoga editor dan semua kakitangan Solusi dirahmati Allah dan terus diberi inspirasi dalam memberikan inout yang terbaik didalam majalah mereka. Amin

Wassalam.
Amira Saryati Ameruddin

4 Muharram 1432

Monday, December 6, 2010

Penghijrahan MaalHijrah

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam Maal Hijrah 1432.
Alhamdulillah kita sekali lagi diberi peluang hidup dibumi Allah lebih-lebih lagi menyambut Maal Hijrah. Tahun baru bagi kita memulakan hijrah ke arah membentuk tahun yang lebih baik dan InsyaAllah terus berusaha untuk menjadi lebih baik.

Masing-masing ada hijrahnya dan begitu juga saya. InsyaAllah semoga tahun ini dipenuhi keberkahan Allah dan semoga segala yang kita uruskan di bumi ini adalah kerana Allah S.W.T. Bersyukur juga kita di bumi Malaysia, banyak juga ceramah dan program televisyen/ radio yang turut memeriahkan lagi sambutan Maal Hijrah. Begitu benyak ilmu yang dapat kugarap dua hari ini sahaja. Mendengar radio IKIM sepanjang perjalanan pergi ke pejabat dengan topik hijrah membentuk masyarakat berkasih sayang, pagi ini di Malaysia Hari ini TV3 dengan pelbagai topik hijrah. Alhamdulillah saya fikir sudah banyak peluang kita untuk menimba ilmu, tak kurang buku-buku yang cukup menarik penuh isi dan mudah difahami. Mudah-mudahan kita semua dapat menggunakan apa yang ada dengan sebaik-baiknya,

Perlu diingatkan juga, hijrah membentuk diri menjadi lebih baik bukan sahaja perlu dibuat pada awal tahun, sepanjang tahun kita perlu ingat tentang keperluan menjadi lebih baik. Kerana kita hanyalah hamba yang lemah, graf Iman juga tidak menentu. Perlu kita lawan nafsu, perlu kita lawan bisikan syaitan agar kita dapat terus beribadah dengan lebih baik. Menyentuh soal nafsu, Majalah SOLUSI isu 25 juga sangant menarik dengan isu Melawan Nafsu. Banyak juga yang kita dapat manfaatkan dari situ dalam berhijrah ke arah menjadi muslim/muslimah yang lebih baik.. InsyaAllah..

Buat masa ni, cukup disini sahaja coretanku. Semoga kita semua umat Islam dapat membentuk peribadi yang mulia dan membangunkan Islam di bumi Allah.


Selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W junjungan.
Wassalam.

Tuesday, November 30, 2010

ILMU itu sangat perlu ditimba

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Salam kunjungan.

Alhamdulillah syukur kupanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana membenarkan aku menghirup udara segar sekali lagi di bumi ini.

Hari ini kumulakan dengan perjalan ke Fakulti Sains, UTM untuk mengambil draf thesis untuk diperbaiki sedikit lagi. Hari Jumaat ini juga ku mohon cuti untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan thesis tersebut. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusanku. Menhirup udara segar pagi-pagi di UTm sungguh menyegarkan. Turut mengingatkan aku zaman degree dulu.. Tatkl kelas pagi dan kami beramai-ramai mengorak langkah ke kelas. Rindu pula zaman bersaing di medan ilmu.

Berkata tentang ilmu, pagi ini juga aku ditemani radio IKIM.fm semasa perjalan kembali ke UTHM dengan topik bicara mereka berkenaan ajaran sesat. Yang menarik di situ ialah berkenaan ilmu. Kepentingan ilmu yang ada dalam dada supaya kita tidak tersesat. Nauzubillah.
Ada juga hadis yang dimainkan pagi tadi yang menyatakan bahawa untuk mendapatkan kebahagiaan duniawi, yang perlu ada pada kita adalah ILMU. Untuk mendapatkan kebahagiaan Ukhrawi juga yang kita perlu ada ialah ILMU. Untuk kebahgiaan duniawi dan ukhrawi, yang perlu kita ada ialah ILMU. Betapa tingginya Islam meletakkan ILMU. Oleh itu rugilah mereka yang tidak cuba menimba ilmu. Tidak sampai ke negara Cina sekalipun, ilmu di bumi sendiri takkan habis dikorek. Terlalu banyak ilmu Allah S.W.T untuk kita. Terlalu banyak yang perlu kita timba. Tak termampu dek akal. Tapi kita harus berusaha. Harus berusaha menimba ilmu kerana Allah S.W.T dan Islam agama Ad-Din.

Hari ini juga hari student-student ku mengambil exam Fizik 1. Jadi mula petang ni sudah kena mula marking. Mudah-mudahan mereka semua dapat jawab. Baiklah, buat hari ini sampai disini saja. Ku perlu concentrate semula dengan menyiapkan proposal PhDku.. Doakan perjuanganku.

Wassalam.

Monday, November 29, 2010

Diari Isnin

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.

Alhamdulillah hari ni kumasih diberi peluang bernafas dan meneruskan perjuangan hidup ini.
Hari ini masih lagi dengan persediaan sambung belajar. Risau pula dirasakan memandangkan merantau di negara orang bukan semudah di negara sendiri. Sepetang aku mengulangkaji kos-kos hidup di Canberra, memandangkan menurut rancangan terkini, ingin smbung pengajianku disana. Namun semua itu juga masih dalam perancangan.
Yang paling dirisaukan ialah kos sewa rumah memamandangkan kos sewa disana agk mahal. Elaun yang diberi harus dihitung betul-betul agar tidak lari "budget". Setelah selesai sampai disana dan settle dengan rumah dan pelbagai, mungkin rasa lega sikit kerisauan ini. Apa-apapun, ku berserah pada yang Esa dalam menentukan hidupku, ku sebagai hamba hanya mampu merancang. Mudah-mudahan Allah S.W.T mempermudahkan segalanya.

Buat masa ini masih awal untuk buat apa-apa pun hanya sekadar "scan over" untuk mempersediakan mental.

Sekian untuk diari catitan hari ini.

Sunday, November 28, 2010

Permulaan "Bercinta sampai ke Syurga"

Assalamualaikum warahmmatullahiwabarakatuh rakan seummah dan salam kunjungan.

Berakhir juga sebuah hujung minggu yang kurasakan penuh juga didisi dengan perkara-perkara berfaedah selain mendapatkan rehat yang cukup setelah bertungkus lumus diruang kerja selama seminggu.

Alhamdulillah juga kuucapkan atas kurniaan Allah kerana kesihatan yang diberikan dan semangat yang baru minggu ini. Hari ini dihabiskan masa seharian dirumah memandangkan ada beberapa perkara yang harus diselesaikan. Yang pertama baju yang disulam manik yang ditunggu oleh tuannya untuk dipakai sempena majlis pernikahannya tak lama lagi di bulan Disember. Pada asalnya ku ingat dapat juga kumulakan menjahit baju baru untuk dipakai ke majlis walimah rakan-rakan memandangkan baju kurung juga sudah tidak indah dipakai bila perut sudah mula membesar. Tapi mungkin dihujung minggu hadapan dapat ku rancang semula untuk jahit baju setelah selesai baju pelanggan dahulu.



Hari ini juga sempat membaca buku hadiah rakan baik mama, Cik Halijah sempena perkahwinan kami tak lama dahulu. Tajuk bukunya "Aku Terima Nikahnya 2-Bercinta sampai ke syurga" hasil nukilan Hasrizal Abdul Jamil. Belum selesai membaca bukunya tapi ada juga beberapa perkara yang mungkin dapat dikongsi bersama, yang pertamanya tertarik dengan salah satu topik dalam buku tersebut yang menyentuh soal kita sebagai hamba. Penulis turut merungkai sedikit dari filem "Ayat-ayat cinta " yang meneyentuh soal perasaan kehambaan yang harus kita rasakan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Fahri dalam filem tersebut digambarkan begitu penuh emosi apabila difitnah berzina walhal telah digambarkan betapa solehnya watak Fahri tersebut. Seketika dia alpa bahawa dia juga insan biasa walaupun dia sudah cukup soleh sebelum ini. Di dalam filem ditunjukkan juga bahawa teman sepenjara Fahri turut mengingatkannya bahawa Allah S.W.T sedang mengujinya. "Allah sedang berbicara denganmu". Oleh itu kita jangan cepat melatah dan jangan terkejut apabila kita ditimpa ujian walaupun kita rasakan bahawa kita sudah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang Allah murkai.. Ini adalah kerana kita hanyalah hamba. Hamba yang lemah. Hamba yang dimiliki Allah dan tidak memiliki apa-apa. Oleh itu kita harus senantiasa ingat bahawa ujian yang datang adalah bicara Allah kepada kita, supaya kita menjadi lebih sabar dan lebih menyedari sifat kehambaan kita agar kita dapat menempuh ujian dengan jayanya dan InsyaAllah dinaikkan darjat disisi Allah S.W.T.

Dalam buku tersebut juga, dipermulaannya ada nasihat berkenaan menjadi anak kepada sepasang ibu bapa. Mungkin ini dirasakan penting bagi penulis, lantas beliau meletakkannya di awal buku. Mendapat restu dari ibu bapa adalah penting terutamanya dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

InsyaAllah sekiranya berkesempatan lagi akan terus kuhabiskan bacaan ku dan jika diberi kesempatan, akan ku ulaskan sedikit lagi buku tersebut. Seronok juga dapat memulakan tabiat baru dengan membaca buku-buku ilmiah begini. Mudah-mudahan Allah S.W.T mempermudahkan urusan ku didunia ini demi kesjahteraan agamaku, duniaku dan akhiratku.


-Aku hanya hamba-Nya-

Saturday, November 27, 2010

Hujung Minggu dan Walimatulurus

Assalamualaikum warahmatullahiwabaraktuh,

Salam penghujung minggu buat semua. Alhamdulillah hujung minggu ini kumulakan dengan semangat mengemas bilik, ruang tidur dirumah ibubapa ku. Sejak dari perkahwinan kami lagi, hadiah2 kiriman sahabat-sahabat tak dapat kami gunakan lagi memandangkan kami masih duduk berasingan, suami meneruskan perjuangan meyelesaikan sarjananya manakala aku telah mula kembali berkhidmat di UTHM. Insya'Allah ikut perancangan, sebelum tahun 2010 ini berakhir kami akan tinggal sebumbung di Parit Raja, berdekatan dengan UTHM, lagipun risau juga dengan keadaan ku yang sudah menghampiri 7bulan hamil.

Sempena cuti sekolah, ramaila pasangan pengantin yang menngambil peluang mengadakan walimatul-urus. Tengahari tadi juga kami ada menghadiri majlis perkahwinan teman sepejabat zaman ku belajar di UTM. Moga-moga pasangan pengantin diberkati Allah S.W.T dan selamat membina keluarga sakinah.



InsyaAllah, minggu-minggu akan datang juga akan diisi dengan menghadiri walimatul-urus rakan-rakan terdekat kami. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan Allah S.W.T dan majlis mereka berlangsung dengan barakah-Nya. Teringat pula masa buat persediaan walimah kami. Walaupun sederhana, agak memenatkan juga. Namun begitu, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar walau ada kekurangannya, Yang baik itu datangnya dari Allah dan yang serba kurang itu dari kami hamba-Nya yang lemah.

Yang lepas usah dikenang-kenang lama-lama, yang dihadapan masih banyak yang perlu difikirkan. Adakala terasa takut dengan tanggungjawab yang bakal dipikul tak lama lagi. Tanggungjawab sebagai ibubapa. Ku panjangkan doa agar Dia memberikan kami petunjuk dalam membina keluarga soleh dan solehah. Sungguhpun kini banyak cabaran terutamanya pengaruh media dan teknologi yang kadangkala diluar kawalan, ku harap kami mampu tempuhi dengan kurniaan kekuatan dan petunjuk dari-Nya.

Sampai disini sahaja coretan hari ini,
dari insan yang cuba menjadikan hari ini lebih baik dari semalam,

-Amira Saryati Ameruddin-

Thursday, November 25, 2010

Ilmu teknologi dari Allah S.W.T

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh Umat Islam Sedunia,

Alhamdulillah, syukur kupanjatkan kepada yang Maha Esa kerana membenarkan aku terus bernyawa di bumi-Nya ini.

Sekejap sahaja minggu ini berlalu memandangkan hari bekerja pun bermula pada hari Selasa kerana Isnin lepas cuti sempena Hari Keputeraan Y.M Sultan Johor. Walaupun hati seronok bertemu penghujung minggu, dan sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah bertemu suami dan keluargaku, terasa juga resah dengan kerja-kerja yang belum sempat disiapkan. Memang merancang untuk disiapkan minggu hadapan tapi risau juga dengan beban yang ada. minggu depan juga aku akan sibuk menanda kertas exam pelajar2 ku yang akan mengambil paper Fizik 1 pada 1 disember ini. Mudah-mudahan Allah menerangkan hati mereka dan berkati mereka sepanjang musim exam ini.



Semalam, setengah hari berada di dalam Dewan Tunku Ibrahim Ismail,UTHM mendengar syarahan dari Prof. Ir. Dr. Saparuddin Ariffin. Beliau sememangnya pakar dalam modeling system. Penerangannya sungguh meluas dan turut juga menyerntuh bagaimana teknologi berkembang pesat dengan asas ilmu dari alam semesta. Sungguh luas bumi ini, sungguh banyak yang boleh kita pelajari dari Alam Semesta milik Allah S.W.T ini. Terasa begitu sempurnanya ciptaan Allah dan begitu sukar untuk mencipta. Tiada ciptaan manusia yang tidak berasaskan ilmu dari Allah S.W.T. Kagum saya melihat slide-slide yang dibentang, antaranya ingin saya kongsi disini.
Contohnya pembinaan kapal terbang yang berasaskan burung, prinsip sayap burung ditiru supaya dapat mempertingkatkan lagi mutu kapal terbang.



Kagum juga memikirkan bahawa burung "hummingbird" boleh terbang merentas benua dengan penggunaan tenaga bersamaan dengan minyak 3 gram shaja..


Tidak dilupa juga prinsip kawalan udara supaya tidak berlaku sesak antara kapal terbang juga menggunakan prinsip dari burung. Bagaimana burung boleh terbang dalam kumpulan yang ramai namun tidak pun berlanggar antara satu sama lain. MasyaAllah, Allahuakbar.


Kini kita sibuk dengan penciptaan teknologi yang dapat menggunakan tenaga yang sikit serta lebih lestari (sustainable). Kita belajar bagaimana ciptaan Allah begitu menjimatkan tenaga. Bagaimana kunang-kunang atau "firefly" menghasilkan lampu dengan 100% tenaga terbebas tertumpu pada menghasilkan cahaya sahaja. Cahaya dari lampu ciptaan manusia sekurang-kurangnya telah hilang sebahagian dari tenaga asal menjadi haba.. MasyaAllah.. Allahuakbar. Tetapi dari sini kita pelajari meningkatkan mutu inovasi dan kualiti ciptaan teknologi. Namun pasti ciptaan manusia tidak setanding, namun kutetap kagum dengan cara kita boleh mempelajari dari ciptaan-Nya untuk membangunkan dunia.


Sampai disini sahaja renungan untuk hari ini, moga kita terus memuji Allah S.W.T atas setiap kejadian di bumi dan menggunakan ilmu yang dikurniakan demi kebaikan dunia dan akhirat. Kadangkala kita leka dan alpa, maka seringla kita berkunjung ke majlis ilmu dan agama agar kita sentiasa diingatkan akan kebesaran-Nya.

Wassalam,

Insan.


Wednesday, November 24, 2010

Permulaan Blog, Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam ukhuwah buat pengunjung blog ini.

Alhamdulillah kupanjatkan syukur buat Ilahi kerana membenarkan aku terus berada di bumi ini dan membenarkan aku berkongsi luahan hati diruang ini.

Telah beberapa kali aku cuba untuk ber"blogging" namun senantiasa gagal dek kerana terlalu sukar untuk ku "update"kan blog yang ku create itu. Mungkin juga terlalu terkongkong dengan tajuk blog, yang kebanyakkan ku wujudkan bertujuan berkongsi hobiku iaitu menjahit dan membuat sulaman manik, maka bila tiada progress kerja2 hobi tersebut kerana sudah sibuk mengurus hal rumah tangga dan urusan kerja di ofis serta kurang sihat kerana kehamilanku, tiadala ter"update" pun blog2 tersebut.

Pada hari ini, ku mulakan blog yang baru, dengan harapan ia akan menjadi tempat semua perkara yang dapat dikongsi baik hobiku, hidupku, pencarianku, dan lain-lain lagi. Semoga dapat dikongsi bersama yang lain, mana tahu ia juga manfaat buat umat yang lain.

Selain itu juga, aku fikir dengan cara ber"blogging" ini dapatlah aku menulis sedikit kenangan ku mengandungkan bayi pertamaku. Walaupun sudah masuk 27minggu kandunganku, masih belum terlambat untuk ku diarikan sedikit kisah mengandungkan permata pertamaku ini. Moga-moga dimasa hadapan dapat dibuat tatapan untuknya atau hanya sebagai kenanganku sementara blog ini masih aktif.


Hari ini adalah hari yang cukup bersemangat buatku, sudah lama aku jua tidak dilanda sakit belakang atau muntah kerana morning sickness. Bersyukur sangat kerana Allah S.W.T mengurniakan aku semangat ini kerana beberapa hari ini, kerja-kerja membuat persedian untuk sambung belajar ke peringkat PhD juga semakin jelas dan ada progressnya. Alhamdulillah, semoga dikurniakan kepada ku semangat dan kesihatan ini agar dapat ku terus perjuangkan demi agama, negara dan bangsa.


Sekadar berkongsi juga, semalam sempat juga aku membaca sebuah buku ringkas dan padat bertajuk "Pemilik Cinta setelah Allah dan Rasul" dikarang oleh Fatimah Syarha.


Sungguhpun bukunya ringkas, tapi sempat juga menyentuh hati ini. Terasa juga begitu cemburu dengan kisah didalammya. Bukan cemburu yang tidak baik, tetapi cemburu akan kisah Qani'ah yang begitu sekali indah hidupnya kerana mendapat Cinta Allah. Turut juga terasa diri ini begitu kerdil di sisi-Nya kerana tidak mampu sebegitu rupa sebelum ini. Walaubagaimanapun ku masih mengharapkan keredhaan-Nya dan akan terus mencuba untuk memperbaiki diri ini. Alhamdulillah kerana Dia masih memberikan ku ruang dan hidayah dan semoga ia terus dikurniakan kepadaku agar ku tidak sesat di bumi ini. Amin.

Buat hari ini, sampai disini sahaja. Perlu memulakan hariku di pejabat juga memandangakan ada beberpa perkara yang perlu diselesaikan dalam masa yang dirancang. Semoga Allah mempermudahkan urusanku di dunia dan mengurniakan kebahagiaan akhiratku.

Salam Mesra dariku,

Hamba Allah yang mendambakan cinta-Nya
Amira Saryati Ameruddin