Assalamualaikum warahmmatullahiwabarakatuh rakan seummah dan salam kunjungan.
Berakhir juga sebuah hujung minggu yang kurasakan penuh juga didisi dengan perkara-perkara berfaedah selain mendapatkan rehat yang cukup setelah bertungkus lumus diruang kerja selama seminggu.
Alhamdulillah juga kuucapkan atas kurniaan Allah kerana kesihatan yang diberikan dan semangat yang baru minggu ini. Hari ini dihabiskan masa seharian dirumah memandangkan ada beberapa perkara yang harus diselesaikan. Yang pertama baju yang disulam manik yang ditunggu oleh tuannya untuk dipakai sempena majlis pernikahannya tak lama lagi di bulan Disember. Pada asalnya ku ingat dapat juga kumulakan menjahit baju baru untuk dipakai ke majlis walimah rakan-rakan memandangkan baju kurung juga sudah tidak indah dipakai bila perut sudah mula membesar. Tapi mungkin dihujung minggu hadapan dapat ku rancang semula untuk jahit baju setelah selesai baju pelanggan dahulu.
Hari ini juga sempat membaca buku hadiah rakan baik mama, Cik Halijah sempena perkahwinan kami tak lama dahulu. Tajuk bukunya "Aku Terima Nikahnya 2-Bercinta sampai ke syurga" hasil nukilan Hasrizal Abdul Jamil. Belum selesai membaca bukunya tapi ada juga beberapa perkara yang mungkin dapat dikongsi bersama, yang pertamanya tertarik dengan salah satu topik dalam buku tersebut yang menyentuh soal kita sebagai hamba. Penulis turut merungkai sedikit dari filem "Ayat-ayat cinta " yang meneyentuh soal perasaan kehambaan yang harus kita rasakan sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Fahri dalam filem tersebut digambarkan begitu penuh emosi apabila difitnah berzina walhal telah digambarkan betapa solehnya watak Fahri tersebut. Seketika dia alpa bahawa dia juga insan biasa walaupun dia sudah cukup soleh sebelum ini. Di dalam filem ditunjukkan juga bahawa teman sepenjara Fahri turut mengingatkannya bahawa Allah S.W.T sedang mengujinya. "Allah sedang berbicara denganmu". Oleh itu kita jangan cepat melatah dan jangan terkejut apabila kita ditimpa ujian walaupun kita rasakan bahawa kita sudah melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang Allah murkai.. Ini adalah kerana kita hanyalah hamba. Hamba yang lemah. Hamba yang dimiliki Allah dan tidak memiliki apa-apa. Oleh itu kita harus senantiasa ingat bahawa ujian yang datang adalah bicara Allah kepada kita, supaya kita menjadi lebih sabar dan lebih menyedari sifat kehambaan kita agar kita dapat menempuh ujian dengan jayanya dan InsyaAllah dinaikkan darjat disisi Allah S.W.T.
Dalam buku tersebut juga, dipermulaannya ada nasihat berkenaan menjadi anak kepada sepasang ibu bapa. Mungkin ini dirasakan penting bagi penulis, lantas beliau meletakkannya di awal buku. Mendapat restu dari ibu bapa adalah penting terutamanya dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
InsyaAllah sekiranya berkesempatan lagi akan terus kuhabiskan bacaan ku dan jika diberi kesempatan, akan ku ulaskan sedikit lagi buku tersebut. Seronok juga dapat memulakan tabiat baru dengan membaca buku-buku ilmiah begini. Mudah-mudahan Allah S.W.T mempermudahkan urusan ku didunia ini demi kesjahteraan agamaku, duniaku dan akhiratku.
-Aku hanya hamba-Nya-
No comments:
Post a Comment