Alhamdulillah hari ini genap Muhammad Asyraf berumur 15 hari. Dua tiga hari lepas dia selsema dan ruam lampin dan ruam dilipatan tangan/siku turut makin teruk, risau aku dibuatnya. Tapi setelah disapu sedikit lotion ruam dan salin lampin dia dengan lebih kerap dan anginkan (tidak pakaikan lampin) seketika dia bermain-main, ruam lampin juga berkurang.
Tangan Asyraf dan Tangan ku. Semoga ikatan ibu dan anak ini adalah ikatan yang Allah eratkan dengan penuh kasih-sayang dan semoga anak ini menjadi seorang yang Taat pada Agamanya, taat pada kedu ibubapanya dan menjadi sinar chaya dalam keluarga kami. Amin
Hari ini juga hari pertama aku mandikan Asyraf sendiri. Sukar juga, almaklumlah, bayi masih kecil, kepala, badan semua kene bagi support. Tapi akan kuusaha untuk lebih tangkas dan mahir demi Asyraf ku sayang. Ya, inilah pengalaman jujur seorang ibu yang benar-benar baru belajar erti menjaga bayi yang sebenarnya. Sebelum kita rempuh situasi sebenar tak pernah kita akan bayangkan sebegini. Rupanya beginilah rasa seorang ibu, sentiasa ingin anaknya dalam keadaan yang paling selesa, tidak menangis, dan sebolehnya dalam keadaan yang paling mudah diurus. Bukan apa, bila dia mula menangis, mulalah kita panik dan cuba apa-apa sahaja yang dapat meredakan tangisannya.
Semalam dalam membelek blog-blog dan pengalaman ibu-ibu lain, terlintas satu petikan luah rasa seorang ibu yang kukira mengalami keadaan yang hampir sama dengan aku. Anaknya tidak berhenti menangis dan dia bacakan surah insyirah buat penenang hati. Kata ibu tersebut, terasa begitu sebak bila sampai pada ayat ke 5 dan 6, dan mula dia berfikir bahawa sesungguhnya setiap kesusahan itu, pasti ada kemudahan. Itu yang dijanjikan Allah. Maka janganlah kita bersedih. Sesungguhnya Allah S.W.T telah menetapkan segala sesuatu dalam keadaan yang paling tebaik untuk kita. InsyaAllah aku juga akan cuba tabahkan hati untuk rempuh saat-saat ini dengan cara yang terbaik dan kepada Allah aku bertawakkal.
Surah Al-Insyirah:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
- أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
- وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,
- الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ yang memberatkan punggungmu?
- وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
- فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan,
- إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.
- فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
- وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
Walau apapun, ku tahu, Allah itu ada, dan aku akan tabahkan hatiku merempuh semua ini. Ramai yang telah lalui perkara yang sama, masakan aku tidak mampu.. KUATKAN SEMANGAT AMIRA.. InsyaAllah semoga semua dipermudahkan Allah..Amin...
Wassalam.
No comments:
Post a Comment