Sunday, February 27, 2011

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,

Syukur ku panjatkan kepada yang Maha Esa, harini aku sudah bergelar ibu genap 7hari kepada seorang putera bernama Muhammd Asyraf bin Muhammad Faiz. Sekejap sahaja masa 40minggu berlalu...Inilah kali kedua pengalaman masuk Operation Theater. Ya, aku terpaksa menjalani pembedahan Cesarean kerana progress yang lambat tatkala cuba bersalin normal. Namun apa-apa pun, syukur kerana Asyraf sudah selamat bernafas di bumi Allah ini.



Buat pengetahuan pembaca, sekarang sudah 4.00 pagi, jarang sekali aku bersengkang mata sehingga lewat sebegini, namun terpaksa biasakan diri memandangkan Asyraf yang masih merengek dikala ini.. Begitu terasa tercabar terutamanya pada hari ke-3 dimana ak baru shj dibenarkan pulang dari klinik dan pada malam itu Asyraf langsung tidak dapat tidur juga ibu dan bapanya, serba tidak kena kami dibuatnya. Kelakar juga bila difikir balik, hampir rasa putus asa.
Tapi hari ini, walaupun Asyraf masih dengan jadual tidur yang tidak tetap, dan masih tidak mahu tidur malam, aku lebih bersedia dan telah meletakkan minda untuk bersengkang mata. Masa-masa inilah pengorbanan ibu dirasakan.. Dahulu mama aku cakap aku juga tidak tidur malam. Pasti sudah, perasaan yang kini kurasa pernah dirasai oleh mamaku suatu ketika dahulu.

Apa yang pasti, selama 7 hari ini, ada banyak lagi yang perlu kupelajari, dan aku akan cuba sedaya upaya ku untuk menjadi ibu yang terbaik. Namun begitu dengan ilmu yang begitu cetek, aku memang perlukan banyak sokongan. Hati juga tidak berapa senang akhir2 ini, mungkin kerana keletihan yang melampau atau sekadar pemikiran negatif yang membelenggu diri. Namun ku cuba tetapkan hatiku pada Yang Esa, dan percaya bahawa Allah S.W.T lebih mengetahui dan akan berada disisiku sepanjang masa.

"Cukuplah Allah bagiku, dan kepada-Nyalah aku bertawakkal"



O ya, Alhamdulillah juga, suamiku menerima tawaran pekerjaan di sebuah syarikat programming di Sutera Impian, lebih kurang 20 minit dari rumah mama, dan 1 jam lebih dari parit raja. Buat masa ini, semasa aku dalam pantang sudah pasti dia tiada masalah dengan perjalanan pergi balik, tapi setelah habis cuti bersalin aku, kami akan pulang ke Parit Raja, jadi dlam masa itu, ak fikir sekiranya ada tawaran berkerja di kawasan Batu Pahat adalh yang terbaik, tetapi sekiranya tiada, kami harus rancang semula yang mana yang terbaik. Mohon Allah tunjukkanlah kami jalan yang terbaik untuk kami.
Ada juga perasaan takut kerana tak terbayang lagi bagaimana nanti sudah mula kerja, mahu ditinggal Asyraf dengan penjaga, malam2 perlu bersengakng mata lagi kah? huhu.. apa-apa pun pasti aku akan update di masa akan datang ya.. moga-moga semua urusan dipermudahkan Allah S.W.T..

Wassalam.

Hamba yang mencari redha-Nya.


Friday, February 11, 2011

Penantian Kehadiranmu, khalifah kecil...

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Sudah cukup 38 minggu mengandungkan "little khalifah" dalam perut ini..
Ini juga pengalaman pertama akan bersalin, berdebar-debar juga. Ada orang kate biasanya awal, ada pula kata biasanya lewat dari due date. Apa-apa pun ku berharap semua berjalan dengan baik dan mudah-mudahan Allah mempermudahkan segala dan menyelamatkan kami berdua..

Setelah melayari pelbagai celoteh orang mengenai pengalaman bersalin masing-masing, dapatlah bayangan juga serba sedikit. Terima kasih buat semua yang sudi berkongsi di luar sana.
InsyaAllah esok ak akan ke klinik untuk pemeriksaan lagi. Semoga semuanya baik-baik sahaja

Akhir2 ini baru semangat menjahitku kembali.. masa inilah terasa sekali ingin buka blog craft dan berkongsi hasil2 jahitan ku. Peralatan bayi pun ada beberapa yang ku sempat jahit seperti tilam, bantal, sarung bakul, sarung carseat dan barut2 nya.. comelnya barang bayi. Rambang mata juga sekalipun hanya di internet. Begitu mudah sekali sekarang. Aku juga haritu borong beberapa barang di onebabyworld.com seperti breastpump set ( memandangkan aku memang nekad untuk bf selama 6 bulan secara ekslusif dan insyaAllah akn cuba juga meneruskan ke 2 tahun), cloth diaper untuk dicuba ( sekiranya dapat, ingin sekali aku menggunakan CD sepenuhnya memandangkan aku juga seorang yang sangat suka perkara2 yang tidak mencemar alam Allah ini), dan rompers comel2.. Seronoknya bershopping, kalau dahulu seronok bershopping untuk diri sendiri, sekarang seronok juga bershopping untuk bakal anak. perempuan.. tak lari dari keinginan bershopping tu..tapi of course perlu sentiasa ingat kemampuan diri dan keluarga agar tak tersasar dan of course jangan membazir. Sudah pasti syaitan sibuk membisik ditelinga kerana bazir itu sifat nya. Jadi perlulah kita berfikir panjang2 sebelum membeli-belah ye..

walau apa pun, ku harap segala berjalan lancar..

wassalam..

Tuesday, February 1, 2011

Perjuangan Hidup dan Persediaan Menjadi Ibu

Assalamualaikum warahmatullah, semoga kita semua dalam redha-Nya dan rahmat-Nya.

Hari ini ingin kusentuh sedikit bicara hati seorang yang bakal menjadi ibu tidak lama lagi. Perasaan kadangkala berbaur gembira dan risau, almaklumlah kali pertama mengandung dan tak lama lagi bakal melahirkan.
Banyak lagi yang perlu kupelajari, lebih-lebih lagi dengan keazaman untuk memberi penyusuan susu ibu secara ekslusif sepanjang 6 bulan terutamanya (semoga sehingga 2 tahun juga). Ini buku yang dijual dengan harga rm 10 sahaja di http://www.sarakids.com/
Alhamdulillah kini banyak ruangan blogspot para ibu yang telah berjaya menyusukan dan kumpulan sokongan yang wujud di Malaysia ini untuk berkongsi tips dan pengalaman menyusukan anak secara ekslusif. Bolehlah ku buat jadi sokongan dan semangat untuk aku terus dengan azamku. Takut tu pasti ada. (p.s : perlu link kan website-website penting di blog ini untuk tujuan rujukan ku semasa ingin mula menyusukan)Tidak sabar mama nak berjumpa dengan anak mama yang dikandung ini. Sudah dirasa tendangmu, gerak mu dan kini mama rindu ingin bertemu dengan mu anakku, Sungguh indah perasaan yang Allah kurniakan kepada seorang ibu dan aku bersyukur kerana aku diberi nikmat itu. Alhamdulillah...


Soal hidup secara amnya, buat masa ini aku masih memikirkan soal kerjaya, soal sambung belajar, soal suami yang juga sedang berusaha mencari hala tuju kerjaya. Dengan keadaan yang serba tak menentu juga, aku sudah pasti seperti hamba lemah yang lain, tidak lari dengan perasaan yang membaur memikirkan hal masa hadapan. Bukan apa, masalah ku ialah aku kini berjawatan sementara sehingga aku selesai PhD. Dan cadangnya hendak mula PhD pada pertengahan tahun ini. Ikutkan cadangannya aku dan suami sudah sepakat untuk ke Australia bagi tujuan aku menyambung PhD. Jadi sementara menunggu cuti belajar ini, kami juga hidup serba cukup sederhana memandangkan tidak dapat invest membeli perkakas rumah mahupun rumah kerana memikirkan soal ingin meninggalkan semuanya setelah ke Ausie nanti. Pulang dari sana selepas 3-4 tahun insyaAllah baru la lebih sempurna untuk mulakan kehidupan yang lebih tetap.

Selain itu, suami ku juga sukar mendapat pekerjaan di area Batu Pahat ini memandangkan kawasannya juga tidak membangun seperti di bandar-bandar besar yang lain. Tambah pula dengan keadaan ku yang sarat dan bakal cuti bersalin ini, suami ku juga tidak dapat berjauhan dengan ku kerana aku perlukan dia bagi apa-apa kecemasan. Sekiranya tidak sebegini sudah pasti ku tidak kisah berjauhan demi kerjaya masing-masing. Kadangkala terasa "selfish" juga, kerana aku, dia terpaksa disini. Tetapi aku sudah terikat kerana pembiayaan master telah ditanggung oleh universiti, mahu atau tidak, aku harus terus berkhidmat disini melainkan jika aku sanggup/mampu untuk bayar semula. Keliru dan sedih juga bila aku fikirkan. Aku buntu juga dan sesekali gagal juga mengawal emosi. Namun ku tetap mengharapkan petunjuk dari Allah S.W.T, memohon agar Dia dapat memberikan kami jalan terbaik demi kebahagiaan kami di dunia dan akhirat dan Islam.

Namun apapun, kutabahkan hati dan percaya bahawa rezeki itu adalah ditangan Allah. Dia yang menentukannya dan sudah tentu ia akan cukup dan bermakna untuk setiap hamba-Nya. Mungkin ada hikmahnya kami dilanda masalah begini. Aku juga tidak dapat lihat apa yang dihadapan, tetapi kuharap langkahku dan suami dalam meniti arus kehidupan ini tidak tersasar lantas membuahkan hati yang gusar dihadapan hari.


InsyaAllah. My Faith, My Life, My Death, My Sollah and My Ibadah is only for Allah.

Amin,
Amira Saryati

Tuesday, December 28, 2010

Teman Bukan Sebarang Teman

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Salam hormat dan salam ukhuwah buat semua.

Ku kira sudah dua tiga minggu tidak ku coretkan apa-apa diruangan ini. Bukan kerana tidak ada apa nak ditulis tetapi kerana sibuk menyiapkan proposal, kursus dan bercuti di rumah. Almaklumlah diakhir-akhir tahun sebegini ramai sungguh yang bercuti serta mengambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga tercinta.

Hari ini adalah hari terkahir aku bekerja untuk tahun 2010. 2 hari terakhir 2010 ku bercadang untuk meluangkan masa menyediakan perkara-perkara yang perlu untuk kami masuk ke rumah sewa baru dan menyediakan keperluan bayi lagi, jadi ku telah memohon cuti tahunan untuk tujuan tersebut.

Kadangkala terlintas juga dihati, sekejap sahaja masa 20-an kita berlalu. Dek kerana sibuk memikirkan kehidupan, memikirkan jalan penyelesaian dan menguruskan hal-hal penting demi mencapai kesejahteraan hidup, masa itu cepat sahaja dirasakan beredar. Sewaktu kecil dulu tidak perlu fikir semua itu, ada yang fikirkan ~ ibu bapa kita. Oleh itu, kita hanya terfokus pada diri kita, agama, pelajaran dan itu pun hanya untuk kita. Sewaktu itu ingin sekali masa berlalu cepat supaya cepat kita dewasa, dapat kerja, dapat duit, dapat berdikari dan lain-lain lagi.. jadi dirasa lama sangat nak cecah usia 20-an.. Kini bila ku sudah berusia 25 tahun tidak sempat pula ku rasa keindahan yang ku-angan-angankan dahulu. Namun begitu ia juga tidak bermakna aku tidak bahagia. Allah s.w.t telah menetapkan segala indah buat hamba-Nya selagi kita bersyukur dan redha dengan ketentuan-Nya. Kini aku bahagia walaupun perlu memikirkan soal kehidupan, soal tanggungjawab sebagai hamba Alllah s.w.t., sebagai isteri, sebagai anak dan tidak lama lagi, InsyaAllah sebagai ibu pula. Bahagia kerana kukira aku mampu untuk tempuh semua itu dengan Allah sebagai teman hidupku. Dan juga kerana Allah s.w.t. telah meminjamkan aku seorang teman yang juga kearah mencari redha-Nya yakni suamiku buat menemani aku dibumi ini. Alhamdulillah. Dengan adanya dia disisi semoga perjuangan kami bersama mencari redha-Nya bertambah manis dan mudah InsyaAllah.


Bercerita soal teman, tidak lupa juga buat teman-teman perempuan yang telah sama-sama bersama membesar dewasa yang telah banyak mempengaruhi kehidupan aku sehingga kini. Alhamdulillah, teman yang dipinjam Allah itu juga adalah teman-teman yang solehah dan teman-teman yang sama-sama ingin mencari redha-Nya. Namun, ku akui juga ada silap yang kami leka kadangkala dahulu, tapi itu semua kukira pengajaran buat kami. Almaklumlah zaman remaja, dan ilmu yang cetek boleh sahaja menjadi jerat.

Begitu tersentuh kadangkala kulihat remaja-remaja yang tersalah berkawan dan akhirnya tidak dapat apa-apa kebaikan dari persahabatan tersebut melainkan yang membawa kearah yang lebih buruk. Maka dengan itu ku simpulkan bahawa memilih kawan itu penting. Lagi-lagi ketika zaman remaja kerana kita lebih banyak bercerita dengan rakan-rakan dari ibu bapa kerana jiwa terasa begitu bebas dan tidak mahu lagi dikongkong. Oleh sebab itu juga Nabi s.a.w. menganjurkan ibu bapa untuk menjadi rakan kepada anak-anak remaja mereka. Bukan apa, supaya mudah ditegur dan mudah diterima teguran. Kita dahulu seorang remaja juga begitu. Lebih terpengaruh dengan nasihat rakan-rakan. Kalau rakan kita nasihatnya dan gaya hidupnya berpandukan Islam, Alhamdulillah. Jadi lebih baiklah kita. Kalau tidak? Nauzubillah.

Dalam pada itu, kuharap aku dapat mendidik anak ku kelak menjadi teman yang soleh dan membawa teman-temannya kearah yang lebih baik dan juga diharap dia juga mendapat teman-teman yang soleh agar dia juga dapat kebaikan dari persahabatannya. Itulah antara yang memnuhi ruang fikiran ku kadangkala - cara mendidik anak. Semua orang ingin jadi ibu bapa terbaik untuk anak-anak mereka. Begitu juga aku. Semoga anak yang bakal lahir ini adalah anak yang soleh dan semoga aku dan suami dapat menjadi ibu bapa yang soleh-solehah serta dapat menjadi teman hidup buat anak-anak kami. InsyaAllah.

Berkawan, berteman kerana Allah, maka carilah yang soleh/solehah supaya mendapat keredhaan-Nya.

Ku akhiri post ini dengan link video lagu nasyid - Teman Sejati.

http://www.youtube.com/watch?v=sQxIU6JZEgA

Wassalam.

Wednesday, December 15, 2010

10 Muharram

Assalamualaikumwarahmatullahiwabaraktuh, salam ukhuwah.

Dalam celik pejam mata ini, sudah 10 hari kita di tahun baru. Seminggu ini aku sibuk seharian dengan kursus dan petang pula sudah kepenatan. Hari ini sudah 10 muharram rupanya, memang semalam amat diingat sangat, kurang-kurang boleh berpuasa hari ini, tapi alpa sungguh diri ini sehinggakan terlupa bila bersarapan pagi tadi. Ralat sungguh rasanya, terasa begitu alpa sekali aku terhadap Allah dan Rasul. Sunnah ini pun tak dapat nak dibuat. Sungguh begitu aku memang hanya insan biasa, masih dalam memperbaiki diri. Pesan doktor lebih diingat pagi ini, kerana akhir-akhir ini aku memang cuba untuk bersarapan di awal pagi supaya tidak makan berlebihan yang akan kelak memudaratkan proses bersalin. Sungguh alpa.. alpa.. kadangkala begitulah kita, pesanan semasa yang lebih diingat bukan pesanan seumur hidup..

Tidak mengapalah, mudah-mudahan ak dapat tunaikan dilain masa. Lagipun umur kandunganku juga sudah menjangkau lebih 7 bulan, risau juga sekiranya ia memudaratkan..kata pujuk untuk hati ini kerana agak kesal pula tak dapat berpuasa sunat hari ini..Namun begitu, kuharap ramai ummah di luar sana yang berjaya menunaikan sunnah puasa hari ini dan semoga Allah lebih memberkati kita.

Hujung minggu ini ak akan mengambil peperiksaan IELTS, tidak sempat membuat persediaan yang banyak namun kuharap dapat kutempuh dengan jayanya. InsyaAllah.Ya Allah terangkan hatiku ini, berikan aku petunjukmu dan janganlah Kau sesatkan aku setelah aku diberi petunjukMu.. Amin..

Friday, December 10, 2010

Pemeriksaan Bulanan Pre-natal

Assalamualaikumwarahmataullahiwabarakatuh. Salam ukhuwah buat semua.

Alhamdulillah sudah penghujung minggu nampaknya. Cepat sahaja masa berlalu. Kadangkala terasa rugi ada masa yang tak dapat diisi penuh makna. Surah Al-Asr yang sering kita baca sesudah majlis pada kebiasaannya bertujuan mengigatkan kita akan kepentingan masa, tapi kita hamba-Nya yang lemah sering sahaja alpa dan leka dek melayan karenah duniawi. Ya Allah ampunila dosa hamba-Mu ini atas segala kealpaan dan kelekaanku.

Hari ini aku sempat menyinggah ke klinik bersalin untuk buat monthly check up, menyinggah sebentar di alam bayi ku yang belum lahir, menjenguk keadaannya dan tidak ketinggalan bertanyakan beberapa perkara dengan Dr mengenai keadaan kesihatanku. Alhamdulillah, anakku kelihatannya sihat sahaja, kini juga dapat kurasakan pergerakannya yang lebih aktif dan kerap. Aku pula ditegur doktor untuk menjaga pemakananku kerana dikhuatiri berat badan yang naik terlalu banyak akan menyebabakan kesukaran kelak nanti. Selain itu turut di beri makanan tambahan DHA sebagai usaha awal dalam membantu perkembangan otak bayi mudah-mudahan bayi mudah menerima ilmu Allah kelak dan seterusnya menjadi khalifah bijak di bumi ini. Oh iye, kali ini lepas scanning dapat juga dijangka bahawa bayi yang bakal lahir adalah bayi lelaki.. Alhamdulillah. Ak tidak kesah samaada perempuan mahupun lelaki, yang penting ialah kesihatannya dan mudah-mudahan sempurna fizikal dan mentalnya. Apa-apa pun, rezki Allah dan aku terima dengan redha. InsyaAllah mudah-mudahan anak lelaki ini bakal menjadi khalifah Allah di bumi membimbing adik-adik yang lain serta taat pada Allah S.W.T.

Bercakap tentang anak, memang sering datang kerisauan dalam hatiku bagaimana agaknya cara terbaik inginku didik anak ini, supaya dia mengenal pencipta-Nya dan mengikut ajaran Rasulullah sebaik-baiknya agar dia menjadi insan yang berbakti di bumi ini. Takut ak tidak mampu, juga takut dengan pengaruh luar yang kian sukar kini untuk dibendung. Namun kuakan berusaha sebaik-baiknya dan ku bertawakkal kepada-Nya. InsyaAllah.


Sebelum ak akhiri coretan hari ini, ingin di catit juga disini, tadi sempat membeli Solusi isu 26, yang baru sahaja kubelek-belek dan baca sebahagian darinya. Kali ini isunya turut menyentuh soal "nilai" . Apakah itu nilai, dan dimanakah letaknya nilai diri kita.. InsyaAllah semoga ak mendapat manfaat darinya dan semoga lebih ramai pembaca yang dapat juga memanfaatkan ilmu dari mjalah tersebut. Semoga editor dan semua kakitangan Solusi dirahmati Allah dan terus diberi inspirasi dalam memberikan inout yang terbaik didalam majalah mereka. Amin

Wassalam.
Amira Saryati Ameruddin

4 Muharram 1432

Monday, December 6, 2010

Penghijrahan MaalHijrah

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam Maal Hijrah 1432.
Alhamdulillah kita sekali lagi diberi peluang hidup dibumi Allah lebih-lebih lagi menyambut Maal Hijrah. Tahun baru bagi kita memulakan hijrah ke arah membentuk tahun yang lebih baik dan InsyaAllah terus berusaha untuk menjadi lebih baik.

Masing-masing ada hijrahnya dan begitu juga saya. InsyaAllah semoga tahun ini dipenuhi keberkahan Allah dan semoga segala yang kita uruskan di bumi ini adalah kerana Allah S.W.T. Bersyukur juga kita di bumi Malaysia, banyak juga ceramah dan program televisyen/ radio yang turut memeriahkan lagi sambutan Maal Hijrah. Begitu benyak ilmu yang dapat kugarap dua hari ini sahaja. Mendengar radio IKIM sepanjang perjalanan pergi ke pejabat dengan topik hijrah membentuk masyarakat berkasih sayang, pagi ini di Malaysia Hari ini TV3 dengan pelbagai topik hijrah. Alhamdulillah saya fikir sudah banyak peluang kita untuk menimba ilmu, tak kurang buku-buku yang cukup menarik penuh isi dan mudah difahami. Mudah-mudahan kita semua dapat menggunakan apa yang ada dengan sebaik-baiknya,

Perlu diingatkan juga, hijrah membentuk diri menjadi lebih baik bukan sahaja perlu dibuat pada awal tahun, sepanjang tahun kita perlu ingat tentang keperluan menjadi lebih baik. Kerana kita hanyalah hamba yang lemah, graf Iman juga tidak menentu. Perlu kita lawan nafsu, perlu kita lawan bisikan syaitan agar kita dapat terus beribadah dengan lebih baik. Menyentuh soal nafsu, Majalah SOLUSI isu 25 juga sangant menarik dengan isu Melawan Nafsu. Banyak juga yang kita dapat manfaatkan dari situ dalam berhijrah ke arah menjadi muslim/muslimah yang lebih baik.. InsyaAllah..

Buat masa ni, cukup disini sahaja coretanku. Semoga kita semua umat Islam dapat membentuk peribadi yang mulia dan membangunkan Islam di bumi Allah.


Selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W junjungan.
Wassalam.